KUALA LUMPUR, 3 April 2009 (Bernama) -- Datuk Seri
Najib Tun Razak yang mengambil alih tugas nombor satu negara, mungkin
berdepan dengan kesukaran, namun apa jua cabaran mendatang, laluan telah
tersedia untuk anak sulung Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul
Razak Hussein, memacu negara ke tahap yang lebih tinggi lagi.
Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada masa yang mencabar
apabila ekonomi menuju kepada kemelesetan, dengan eksport dan pembuatan
terjejas teruk oleh kelembapan ekonomi dunia.
Keadaan ekonomi semasa yang sukar memerlukan usaha Najib untuk membawa negara melalui masa yang tidak menentu ini.
Dengan latar belakang yang kukuh dalam ekonomi dan disokong oleh pasukan
yang kuat, Najib boleh diharap dapat membawa Malaysia melalui krisis
ekonomi dunia masa kini dan mencapai pertumbuhan yang lebih teguh dalam
proses, kata penganalisis, ahli ekonomi dan tokoh korporat.
Najib, yang merupakan Menteri Kewangan, berjanji akan menggunakan
kelembapan ekonomi global semasa untuk merangsang negara sehingga
rangkaian nilai ekonomi dan untuk meliberalisasikan sektor perkhidmatan,
mengurangkan penggantungan terhadap komoditi dan eksport minyak serta
elektronik asas.
Dilahirkan pada 23 Julai, 1953 di Kuala Lipis, Pahang, Najib mendapat
pendidikan di St John's Institution di Kuala Lumpur dan Malvern Boy's
College di Worcestershire, England, sebelum memperoleh ijazah dalam
Ekonomi Perindustrian Economics daripada Universiti Nottingham.
Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 6 Jan, 2004. Beliau
sebenarnya memegang jawatan itu 47 tahun selepas pelantikan bapanya ke
jawatan yang sama.
Hari ini, beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia
keenam, dalam satu peralihan kuasa yang diatur rapi yang mengambil masa
setahun. Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi, yang melepaskan jawatan berkenaan selepas lima setengah
tahun berkhidmat.
Abdullah, 69, memilih Najib sebagai timbalannya tiga bulan selepas
memegang jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan persaraan Tun Dr
Mahathir Mohamad, pada Oktober 2003. Dr Mahathir berkhidmat sebagai
perdana menteri keempat negara selama 22 tahun sejak 1981.
Najib secara rasminya dilantik sebagai Presiden Umno pada 26 Mac lepas
pada Perhimpunan Agung parti yang memberi laluan kepada beliau untuk
menjadi perdana menteri. Sudah menjadi kebiasaan, Presiden Umno akan
memegang jawatan sebagai perdana menteri negara sejak 1957.
Pada ucapan dasar terakhirnya sebagai presiden parti, Abdullah yang
memegang jawatan itu sejak Oktober 2004, menyeru anggota Umno memberikan
sokongan padu mereka kepada Najib dan membantu beliau membawa Malaysia
ke tahap yang lebih tinggi.
Semasa menyambut baik peralihan kuasa itu, Ketua Pegawai Eksekutif
Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali,
berkata: "Kami menanti kepimpinan baru di bawah Datuk Seri Najib Tun
Razak dan memerlukan bimbangan, kebijaksanaan dan arahan beliau dalam
membawa Malaysia melalui peralihan dan mengharungi satu daripada
persekitaran ekonomi yang sukar."
Beliau berkata MSC Malaysia, yang diasaskan Dr Mahathir, terus menikmati
sokongan kukuh di bawah kepimpinan Abdullah setelah beliau membawa
Malaysia ke era pengetahuan atau K-ekonomi.
Najib, kata Badlisham, sentiasa menjadi pemacu teguh dalam membawa MSC
Malaysia melalui pengumuman program Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi
(HSBB), dengan objektif meningkatkan kadar penembusan jalur lebar
seluruh Malaysia.
"Kami percaya ICT mempunyai peranan penting dalam banyak bidang termasuk
mewujudkan kekayaan dan pembangunan modal insan. Kepentingan segera
ialah bagi MSC Malaysia memacu pewujudan pekerjaan, peluang latihan,
pembangunan industri kreatif dan penyumberan luar perkhidmatan
sebagaimana yang disebutkan dalam bajet mini baru-baru ini yang
dibentangkan oleh Datuk Seri Najib," katanya.
Sebagai pemacu kepada MSC, Badlisham berkata MDeC juga akan terus
memberi sokongan kepada inisiatif negara untuk mengubah Malaysia kepada
ekonomi yang berasaskan pengetahuan melalui ICT.
Semasa memetik Najib, beliau berkata: "HSBB akan menjadi inisiatif
infrastruktur utama negara yang akan membolehkan Malaysia meningkatkan
daya saing ekonominya di rantau ini, membantu menarik FDI (pelaburan
langsung asing) ke negara serta mempercepatkan agenda dan aspirasi
teknologi tinggi dan ICT negara melalui peningkatan pengetahuan modal
tenaga kerja."
Dengan memanfaatkan Inisiatif Jalur Lebar Negara, Najib juga telah
mewujudkan Pasukan Petugas Kandungan Dalam Talian Bersepadu (ICON), yang
dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dengan Sekretariat bersama
MDeC dan Unit Pemodenan Tabdiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia
(MAMPU), kata beliau.
ICON ditubuhkan untuk mempercepatkan bekalan kandungan tempatan dengan
itu meningkatkan peluang kepada usahawan dan mewujudkan lebih banyak
pekerjaan, membawa Malaysia kepada K-ekonomi.
"Sejajar dengan usaha HSBB, Datuk Seri Najib juga memainkan peranan
dalam membawa pelaburan asing untuk syarikat ICT besar mendirikan
pangkalan di MSC Malaysia, menyediakan ribuan pekerjaan nilai tinggi
kepada rakyat Malaysia dalam bidang ICT," katanya.
Pengarah urusan kumpulan BIMB Holdings Bhd, Johan Abdullah, berkata
sebagai permulaan, pakej rangsangan RM60 bilion baru-baru ini perlu
dipantau dengan teliti dan dilaksanakan secara berkesan, terbuka dan
menyalurkan komunikasi yang konsisten kepada orang ramai mengenai usaha
yang ingin dicapai.
"Najib perlu mendengar semua peringkat dalam sektor ekonomi (pengguna,
pembekal, pembiaya dan sebagainya) dan mengadakan satu "penyelesaian
kreatif" untuk meletakkan Malaysia bukan hanya sebagai ekonomi yang
kompetitif tetapi bernilai tinggi.
Johan berkata kini bukan persoalan sama ada boleh atau tidak Najib dapat mencapai sasaran ekonomi beliau.
"Apa yang lebih pentingnya, ialah kemampuan membawa mereka yang
berkepentingan utama di semua peringkat untuk bergerak bersama dalam
mencapai rangkaian nilai ekonomi. Oleh itu, kemahiran dan kecekapan
khusus dengan pemikiran kreatif perlu sentiasa diberikan keutamaan.
"Kita perlu membiasakan rakyat bahawa kita semua perlu melakukannya
bersama-sama untuk kelangsungan ekonomi kita untuk masa depan," kata
Johan.
Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata ekonomi Malaysia
diunjur mencatatkan kadar pertumbuhan negatif satu peratus hingga 1
peratus tahun ini dan kerajaan serta bank pusat telah melaksanakan
langkah-langkah, seperti pakej perbelanjaan fiskal dan penurunan kadar
faedah untuk merangsang ekonomi.
"Langkah ini diunjur mengambil masa untuk berkesan melalui ekonomi dan
akan membuahkan hasil pada separuh kedua," kata Dr Zeti semasa
mengumumkan Laporan Bank Negara Malaysia 2008, baru-baru ini.
Ahli ekonomi Tan Sri Ramon Navaratnam berkata rakyat mengharapkan
perdana menteri baru dapat menaikkan semangat rakyat Malaysia untuk
membawa perubahan positif dan konstruktif yang akan membawa negara ke
tahap lebih tinggi.
Navaratnam, yang juga Pengerusi Pusat Untuk Kajian Dasar Awam, berkata
Najib mendapat pengalaman yang luas dalam kerajaan sehingga ke peringkat
Kabinet sebagai timbalan perdana menteri.
Beliau menjadi timbalan perdana menteri pada 6 Jan, 2004.
"Dengan banyak portfolio yang dipegang sejak bertahun-tahun termasuk
dalam pendidikan, Najib mendapat didikan yang hebat daripada Allahyarham
bapanya (sebelum itu)," katanya
"Najib berkelayakan untuk memimpin," kata Navaratnam, tetapi menambah
bahawa perdana menteri yang baru mungkin mempunyai pengacau yang boleh
menjejaskan usaha beliau dalam membina keyakinan dan membina negara
selepas tempoh yang mencabar setelah pilihan raya umum 8 Mac 2008.
Navaratnam, yang menjangka perubahan di bawah kepimpinan Najib berkata:
"Perubahan perlu dalam semua aspek cara hidup rakyat Malaysia.
"Sebagaimana kata PM (Abdullah), kabinet baru perlu berubah sebelum ia diubah.
Kerajaan BN juga perlu berubah sebelum BN diubah."
Pengerusi eksekutif Kumpulan Sazean, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir
berkata negara juga menanti-nantikan peralihan ini, terutamanya dengan
latar belakang Najib sebagai anak kepada Allahyarham Tun Abdul Razak,
yang bersama-sama dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman, meletakkan batu
asas kepada kemakmuran Malaysia.
"Malangnya, usaha dan wawasan kedua-dua mereka telah lari daripada
landasannya. Hasilnya rakyat Malaysia daripada semua bangsa marah dan
bersedia untuk perubahan."
Bagaimanapun, beliau berkata kepimpinan baru menawarkan peluang akhir
untuk menyelamatkan negara terutamanya dengan pembangkang tidak dapat
bertindak bersama walaupun selepas setahun sejak 8 Mac.
"Kini terpulang kepada Najib untuk menyelamatkan legasi bapanya sendiri
untuk negara dan rakyat. Jika negara bersatu dan Menteri Kabinet kita
memberi tumpuan kepada kerja mereka serta kekal bersih, kita boleh
mengatasi masalah kita dengan mudah.
"Satu daripada alasan kenapa rakyat tidak gembira ialah kerana rasuah
yang berleluasa, penyalahgunaan kuasa dan birokrasi," kata Kadir, yang
merupakan bekas menteri kabinet.